Kuala Lumpur – Fenomena luar biasa yang dicetuskan oleh pelakon dan pelawak, Bell Ngasri ketika kempen undian Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 35 ABPBH35 beberapa minggu lalu nyata membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Selain memenangi anugerah utama itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 43, turut membawa pulang trofi bagi kategori Artis Komedi Popular sekaligus menewaskan empat lagi pesaingnya iaitu Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Syazli.

Bell sewaktu ditemui di sidang media berkata, sepanjang 37 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni, dia tidak pernah sekali pun terfikir untuk mengejar populariti.

Saya pernah berkata, saya tak perlukan populariti dalam hidup saya. Mungkin sebab inilah, Allah berikan anugerah ini kepada saya. Selama 37 tahun, saya tak pernah rasa saya popular.

“Tetapi hari ini saya diraikan sebegini. Sebelum ini kalau saya hadir ke majlis anugerah, tiada orang yang pernah peduli tentang saya. Lalu di karpet merah pun orang tak perasan. Tetapi hari ini semua memanggil nama saya ketika di karpet merah,” katanya.

Kata pelakon yang memulakan kerjaya lakonan sejak dari zaman kanak-kanak ini lagi, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundinya di ABPBH35 kali ini.

Saya rasa sangat terharu. Ramai yang memberitahu saya bahawa mereka mengundi di ABPBH35 buat pertama kali kerana saya. Saya bukanlah seperti artis lain yang punya kelab peminat yang kuat.

Rakan-rakan artis yang tercalon juga turut mempromosikan saya sedangkan mereka juga turut bertanding bersama-sama.

Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu saya. Dia yang paling gembira dengan kemenangan ini. Waktu kecil dulu dia sanggup bawa saya naik bas untuk pergi berlakon.

“Tidak dilupakan kepada Allahyarham Mamat Khalid yang telah mencipta watak Barkoba yang mencetuskan fenomena tersendiri,” ujarnya.

Menewaskan nama-nama popular yang jauh lebih muda daripadanya serta memiliki paras menawan seperti Anna Jobling dan Meerqeen, kata Bell, kemenangan di pentas ABPBH35 memberikan harapan kepada artis-artis lama bahawa mereka juga berpeluang meraih kejayaan yang sama sepertinya.

Satu ketika dahulu saya pernah dipandang rendah oleh seorang pengarah yang memperkecilkan fizikal tubuh saya. Dia ada sini malam ini. Dia kata macam mana saya nak jadi artis sedangkan bertubuh ketot.

Jika anda terkena pengalaman seperti itu, apa yang anda akan rasa. Sudah tentu perkara seperti itu boleh melunturkan semangat.

“Tetapi Alhamdulillah, kemenangan malam ini adalah satu bukti bahawa artis seperti saya juga boleh mengukir kejayaan,” kongsinya.

Jadi Hero

Ditanya siapakah yang dirasakan saingan terdekatnya untuk merangkul trofi Bintang Paling Popular, kata Bell dia melihat Anna Jobling punya populariti yang luar biasa.

Anna Jobling menang banyak anugerah malam ini. Bila saya lihat dia, saya tertanya-tanya macam mana saya nak ganti jadi hero untuk dia. Bila dia berdiri sebelah Meerqeen, baru saya faham kenapa pengarah gandingkan mereka bersama.

Mereka kelihatan sama cantik sama padan. Patutlah pengarah tak panggil saya untuk digandingkan dengan Anna Jobling, katanya bergurau.

Ditanya apakah yang akan dilakukannya selepas meraih kemenangan ini, kata Bell sebelum ini dia telah memasang niat untuk menunaikan umrah.

“Saya merancang untuk menunaikan umrah. Tetapi tak sangka rezeki saya malam ini apabila turut diberikan hadiah pakej umrah oleh penaja utama iaitu Fellera. Mungkin inilah yang dinamakan rezeki yang ditentukan Allah buat saya,” katanya.

Pada malam ABPBH35 itu juga menyaksikan beberapa nama selebriti senior turut mengukir kejayaan buat pertama kali seperti Elly Mazlein Pengacara TV Popular, Tyzo Penyampai Radio Popular dan Beto Kushairy Pelakon Filem Lelaki Popular.

Kredit : Getaran/IG

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

By admin

error: Content is protected !!