Kuala Lumpur – Mencipta kejutan, Bell Ngasri, 43, yang terkenal dengan watak Barkoba iaitu lelaki yang malas puasa dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 19 Puasa, muncul antara 10 artis meraih undian terkumpul tertinggi setakat ini, pada saingan Top 5, Anugerah Bintang Popular BH ABPBH Ke 35.
Selain Bell yang sudah tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, sembilan artis lain yang mendahului undian Top 5 adalah Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.
Dengan prestasi ditunjukkan finalis sebelum undian berakhir pada jam 11.59 malam Sabtu ini, setiap calon berpotensi dinobatkan Bintang Paling Popular ABPBH 35 yang diajaibkan penaja utama, Fellera Skin.
Senarai 10 finalis yang memperoleh undian terkumpul tertinggi setakat ini diumumkan pengacara majlis, Muaz, pada sidang media pengumuman pra-kemuncak ABPBH 35 di premis acara, The Agam, Jalan Sungai Penchala, di sini, malam tadi.

Antara Top 10 ABPBH
Majlis itu dihadiri Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press M Bhd NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Ketua Pegawai Operasi COO Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Program dan Penyiaran TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri dan Timbalan Pengarah Kumpulan Rangkaian Kandungan Radio, Media Prima Audio MPA, Shah Hayatudin.
Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, senarai 10 artis yang mendahului undian Top 5 setakat ini menambah debaran malam kemuncak ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni yang akan disiarkan secara langsung dari Istana Budaya di sini, pada 21 Julai ini.
Sejak ABPBH 35 dilancarkan Mei lalu, sambutan diterima sangat memberangsangkan. Bermula dengan peringkat Top 20, peminat sangat teruja mengundi idola masing-masing bagi melayakkan mereka bergelar finalis.
Sebaik pusingan Top 5 dilancarkan pada 20 Jun lalu, undian diterima makin menggalakkan. Malah, sejak beberapa hari lalu, tular perkongsian peminat yang mengundi beberapa finalis ABPBH 35 terutama Bell yang menarik perhatian ramai.
Perkembangan ini sangat menggembirakan di mana ramai individu yang mendakwa selama ini tidak pernah mengundi artis yang bertanding pada ABPBH, berbuat demikian demi sokongan terhadap bintang pujaan.

Inilah yang dimahukan melalui penganjuran acara ini di mana kuasa atau mandat diberi kepada peminat memilih artis yang difikirkan layak atas faktor bakat, produk dan impak dibawa sehingga layak meraih trofi bagi 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan.
“Kemuncaknya, pastilah gelaran Bintang Paling Popular dianugerahkan kepada artis yang meraih undian tertinggi pada edisi kali ini,” katanya.
Pusingan pertama undian Top 20 yang dilancarkan 12 Mei hingga 11 Jun lalu, mencatat rekod baharu dalam sejarah penganjuran acara anugerah berprestij ini apabila lebih 21 juta undi diterima sepanjang tempoh 31 hari proses pemilihan dibuka.
Secara keseluruhan, sejumlah 21,033,657 undian diterima daripada peminat membabitkan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Ekstra yang dipertandingkan pada edisi kali ini.
Berikutan itu, pusingan kedua undian dilancarkan membabitkan calon Top 5 atau finalis bagi semua kategori dipertandingkan yang berakhir, Sabtu ini.
Proses pemilihan calon Top 5 bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian peminat, manakala 30 peratus lagi penilaian juri profesional.
Shamshul Azree berkata, peminat masih berpeluang memastikan kejayaan artis pilihan sehingga undian Top 5 berakhir pada jam 11.59 malam, Sabtu ini.
“Gunakan kuasa diberi kepada anda dengan bijak. Inilah peluang bagi peminat menyaksikan artis tersayang merangkul trofi berprestij idaman ramai bintang pada edisi kali ini,” katanya.
Kredit : BH/FB
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.